Semoga perkongsian di dalam blog ini memberi manfaat kepada yang membaca. Salam perkenalan untuk semua :)
RSS

Pages

Permainan tradisi pikat pelajar Jepun

Rombongan Sekolah Tinggi TBC Gakuin lawat ITPYPJ


Johor Bahru: Seramai 113 pelajar dan tujuh guru pengiring dari sekolah Tinggi TBC Gakuin, Tokyo, Jepun mengadakan lawatan sambil belajar di Institut Teknologi Perindustrian Yayasan Pelajaran Johor (ITPYPJ) Jalan Yahya al-Datar, Bukit Senyum, disini

Dalam lawatan selama 3 jam itu, rombongan yang diketuai pengetua sekolah berkenaan, Ryoji Suzuki itu didedahkan dengan pelbagai permainan tradisi masyarakat negara ini seperti congkak, kompang, anyaman ketupat, sepak takraw dan badminton selain mempelajari bahasa, lagu dan tarian zapin Melayu.

Seorang pelajar, Miyuki Fujiwara, 17 berkata lawatan berkenaan adalah lawatan pertamanya ke negara ini dan beliau tidak menyangka negara ini sebuah negara yang membangun tetapi kemajuannya hampir setanding negaranya.

Bagaimanapun, katanya, beliau kurang selesa kerana cuaca negara ini yang panas dan lembap menyebabkan beliau berpeluh setiap masa sedangkan negaranya mempunyai 4 musim dan agak sejuk.

"Pada mulanya, saya menyangka sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, ia akan menyukarkan kami untuk melakukan sesuatu disini kerana semua dikatakan dilarang terutama ketika berada di tempat awam. Bagaimanapun, selepas berada disini, saya baru sedar bahawa tanggapan berkenaan tidak tepat. Bahkan, rakyatnya juga ramah serta mempunyai tradisi dan budaya yang menarik," katanya ketika ditemui selepas belajar bermain kompang di ITPYPJ di sini, baru-baru ini. Sementara itu, rakannya, Tomoko Yokoshima 18, berkata beliau berharap dapat mengetahui budaya dan cara hidup rakyat di negara ini walaupun hanya berada beberapa hari di negara ini dan Singapura.

Beliau berkata, walaupun ketika dunia tanpa sempadan, masih ada perbezaan kebudayaan antara negaranya dan Malaysia.

"Contohnya, cara berpakaian remaja disini juga berbeza di Jepun dan kami membawa bekal makanan tengahari masing-masing ke sekolah. Bagaimanapun, kami juga berjalan-jalan di kompleks membeli belah selepas tamat waktu persekolahan dari jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang seperti remaja disini," katanya yang juga menggemari program realiti televisyen Jepun, Ninja Warriors.

Terdahulu, rombongan berkenaan disambut dengan paluan kompang dan diiringi bunga manggar serta disambut oleh Timbalan Ketua Eksekutif ITPYPJ, Mohd Lokman Abdullah.

Difahamkan, lawatan pelajar Jepun ke institut pendidikan YPJ dengan bantuan agensi pelancongan itu bukan pertama kali dan sudah bermula sejak 2007. bagaimanapun, rombongan kali ini dikatakan yang terbesar sejak diperkenalkan.

sumber : m/s 8 Berita Harian Edisi Johor, 24 Mei 2010


0 comments: